ISKANDAR PUTERI – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas muatan karkas babi dengan berat kira-kira 22 tan yang berjumlah hampir RM600,000 di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di sini, Ahad lalu.
Menurut Pengarah Maqis Negeri Johor, Edie Putra Md. Yusof, rampasan itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selepas menahan sebuah lori yang masuk dari Singapura.
Katanya, pemeriksaan yang dilakukan pegawai penguat kuasa Maqis dan JKDM pada pukul 1.15 pagi di bay pemeriksaan import KSAB mendapati lori itu membawa karkas babi yang disyaki cuba dibawa masuk tanpa sebarang dokumen.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati konsainan tersebut tiada sebarang dokumen seperti Permit Import Maqis dan Sijil Kesihatan Veterinar.
“Perbuatan ini disyaki menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11 (3) Akta yang sama kerana mengimport tanpa permit import Maqis,” katanya kepada pemberita hari ini.
Edie Putra berkata, pihaknya turut menahan seorang pemandu dan kelindan yang berusia 27 dan 29 tahun.
Kedua-dua mereka dilepaskan setelah mengambil keterangan berhubung rampasan berkenaan.
Jelasnya, mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE