PUCHONG – Kerajaan akan meminda Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) 1981 demi memastikan keselamatan dan kebajikan pekerja dalam industri kreatif lebih terjamin.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pindaan tersebut melibatkan beberapa standard kontrak yang ada dalam akta tersebut.
“Saya telah arahkan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas untuk meneliti pindaan ini sebelum ia melalui proses seterusnya.
“Perkara ini akan makan masa mungkin antara enam bulan ke setahun. Kontrak-kontrak yang terdapat dalam akta ini akan ditambah baik untuk pastikan aspek keselamatan sosial pekerja industri kreatif tidak diketepikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika melakukan program Ziarah Ramadan Sempena Aidilfitri ke rumah pengarah dan pelakon, Mohamad Jamil Zulkifli atau lebih dikenali sebagai M. Jamil di sini hari ini.
Tambah Fahmi, draf berkaitan pindaan itu juga kini dalam penelitian pihaknya.
Difahamkan antara pindaan yang akan dibuat dalam Akta Finas tersebut termasuklah berkaitan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk semua pekerja industri kreatif termasuk kru belakang tadbir.
Selain itu, pindaan juga akan melibatkan Akta Kanak-Kanak yang mana semua pelakon kanak-kanak perlu mendapatkan permit sebelum bekerja.
Dalam pada itu, mengulas mengenai program ziarah ke rumah M Jamil itu, pihaknya mendapati bantuan Perkeso tidak dapat disalurkan kerana syarikat tempat dia bekerja sebelum ini culas untuk membuat caruman.
“Dalam kes Jamil ini, dia maklumkan selepas serangan angin ahmar kedua, syarikat yang sepatutnya menjalankan tugas untuk membuat caruman Perkeso telah culas.
“Perkara ini sedang kita urus, tetapi ia sepatutnya tidak berlaku. Kita perlu ada mekanisme aduan selain Perkeso dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) iaitu melalui Finas.
“Kami akan selaraskan aduan ini untuk pastikan keselamatan sosial pekerja industri kreatif khususnya bidang perfileman terjamin,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE