PUTRAJAYA – Orang ramai diminta tidak mudah terpedaya dengan tawaran skim pelaburan haram yang kononnya dikendalikan oleh syarikat patuh syariah.
Bagi meyakinkan orang ramai, sindiket pelaburan ini dilihat semakin berani apabila menampilkan wajah-wajah pendakwah dan penceramah terkenal pada iklan dan bahan promosi masing-masing.
Terbaharu, pendakwah terkenal, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim tampil memberi penjelasan dan menafikan sekeras-kerasnya pembabitan dalam satu skim pelaburan yang mengelirukan itu.
Pensyarah Fiqh Fatwa, Pusat Kajian Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, beliau mengesan satu iklan pelaburan yang menggunakan wajahnya tanpa persetujuan bagi menarik pelanggan.
“Saya sudah membuat satu laporan polis mengenai perkara itu bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.si
“Saya juga memohon kepada mangsa yang tertipu dengan skim pelaburan itu supaya segera membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Katanya, beliau difahamkan, salah seorang rakan di media sosialnya di Kelantan sudah melabur lebih RM20,000 dalam skim itu dan kemudiannya menyedari ia adalah skim pelaburan haram.
Mohd. Izhar berkata, beliau secara peribadi kesal dengan sikap segelintir rakyat Malaysia yang menggunakan wajah-wajah pendakwah dan penceramah untuk mencari rezeki menerusi cara yang haram.
“Golongan ‘scammer’ ini perlu kembali kepada Allah Bagaimana yang tertipu itu adalah ibu, bapa atau keluarga terdekat kamu? Pasti kamu akan marah dan geram dengan penipuan yang berlaku,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, beliau memohon kepada masyarakat di luar sana supaya jangan terpedaya dengan skim-skim pelaburan yang meragukan ini.
Jelasnya lagi, skim pelaburan meragukan ini menarik pelanggan dengan menggunakan nama-nama besar pendakwah negara selain memperdayakan pelanggan kononnya skim berkenaan patuh syariah. -K! ONLINE