SUNGAI SIPUT – Dua beradik maut selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian langgar lari di Kilometer 38.9, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar di sini hari ini.
Kejadian di persimpangan Taman Desa Salak pada 7.12 pagi itu mengorbankan Ahmad Zuhal Norazlan, 17, dan adiknya, Ahmad Marikh, 13, di lokasi kejadian.
Kemalangan berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah Kuala Kangsar menghala ke Ipoh memasuki simpang sebelah kanan menghala ke Taman Desa Salak secara mengejut.
Tindakan cuai pemandu kenderaan pacuan empat roda yang belum dikenal pasti itu menyebabkan pelanggaran dengan motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan.
Nahas itu menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kenderaan melarikan diri.
Mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin ketika dihubungi mengesahkan mengenai kemalangan tersebut.
“Pihak polis menerima maklumat pada pukul 7.12 pagi dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya. – KOSMO! ONLINE