BERBICARA tentang trigeminal neuralgia (TN), ia adalah penyakit yang jarang berlaku tetapi amat menyakitkan.
Penyakit pada bahagian muka ini boleh mengganggu kehidupan seseorang jika tidak dirawat dengan tepat.
Walaupun penyakit ini jarang berlaku, namun ia tetap memberi impak teruk kepada pesakit.
Diagnosis dan rawatan penyakit ini agak kompleks sehingga menyebabkan penghidapnya menderita secara senyap.
Bagaimanapun, apabila seseorang itu disahkan menghidap penyakit TN, ia boleh dirawat secara berkesan dan mengubah kehidupan pesakit.
TN merujuk kepada kesakitan yang dialami di kawasan saraf trigeminal iaitu dari atas telinga yang menjalar ke mata, pipi dan rahang. Ia biasanya berlaku secara spontan kepada individu.
Perunding Pakar Bedah Saraf di Pusat Perubatan Sunway, Dr. Syed Abdullah Al-Haddad berkata, penyakit kronik ini mengakibatkan pesakitnya menderita secara senyap, namun sering diabaikan dan disalah erti.
Menurutnya, ciri-ciri penyakit ini melibatkan rasa sakit di bahagian rahang atau muka secara mendadak, sengit, rasa menikam atau seperti kejutan elektrik.
Ia berlaku secara berulang-ulang atau dalam masa singkat.
Penyakit TN juga boleh berlarutan dari tempoh beberapa saat sehingga beberapa minit dan serangan penyakit ini boleh berlaku beberapa kali hingga beratus kali sehari.
Penyakit ini lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita.
“Perasaan renjatan elektrik sangat kuat seperti sakit pada sebelah kawasan muka adalah simptom yang membuatkan penyakit ini sering disalah tafsir dan disalah nilai.
“Pesakit sering alami kesakitan yang parah selama bertahun-tahun dan kesakitan menyerupai rasa sakit semasa bersalin.
“Ada kalanya pesakit terpaksa mencari ikhtiar dan merujuk dengan ramai pengamal perubatan semata-mata untuk sembuh daripada kesakitan dialami,” katanya.
Tambah beliau, berdasarkan pengalamannya, kebanyakan pesakit yang dirujuk telah mengalami kesakitan ini untuk jangka masa panjang.
Ini termasuk seorang pesakit yang telah mencabut keseluruhan sebelah bahagian gigi kerana mendapat diagnosis salah untuk penyakitnya.
Pesakit beranggapan sebagai sakit gigi, sebelum disahkan sebagai penyakit TN.
Penyakit ini juga memberi kesan mendalam terhadap kehidupan pesakit.
Mereka sering berasa sukar untuk melakukan aktiviti harian seperti makan dan bercakap kerana rasa sakit dialami.Ini mempengaruhi kesihatan mental dan hubungan dengan insan tersayang.
Mengulas lanjut, Dr. Syed Abdullah berkata, penyakit TN tidak mengenal sempadan apabila menyerang seseorang individu.
“Secara umumnya, penyakit ini menimpa pesakit yang berumur 40 hingga 50 tahun ke atas.
“Ia bukan sahaja akan menjejaskan kesejahteraan fizikal, malah kesihatan mental dan kualiti hidup mereka.
“Bahkan, ada sesetengah pesakit memilih untuk berhenti bercakap atau tidak menjalani kehidupan seperti biasa disebabkan kesakitan ditanggung.
“Gejala-gejala ini boleh mengganggu keupayaan mereka untuk bekerja sehingga memberi kesan kepada perhubungan.
“Ada orang percaya bahawa penghidap penyakit ini ‘gila’ atau melebih-lebihkan kesakitan mereka.
“Sebenarnya, penyakit ini boleh membawa kepada kemurungan dan masalah tidur dek rasa sakit,” jelasnya.
Untuk makluman, penyakit TN mudah didiagnos dan dirawat, namun sering kali tersalah diagnosis.
Biasanya, simptom TN dikaitkan dengan penyakit lain seperti multiple sklerosis atau tumor.
Ia sering dikenal pasti melalui gabungan simptom sakit yang dilaporkan oleh pesakit dan pemeriksaan fizikal secara menyeluruh serta imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI).
Kesakitan yang sering digambarkan oleh pesakit adalah penting dan boleh menjadi tanda-tanda khusus penyakit ini.
Pilihan rawatan untuk penyakit ini termasuk ubat untuk menyekat isyarat sakit atau kaedah pembedahan.
Misalnya, radiosurgeri stereotaktik iaitu prosedur bukan invasif yang memancarkan sinaran radiasi berfokus ke akar saraf trigeminal. Prosedur ini mampu mengurangkan isyarat sakit dengan masa pemulihan lebih singkat.
Rawatan lain adalah pembedahan untuk melegakan tekanan pada saraf trigeminal.
Sementara itu, jelas Dr. Syed Abdullah, cabaran terbesar bagi pesakit adalah untuk mendapatkan diagnosis yang tepat daripada pakar perubatan.
“Selalunya, keadaan ini disalah tafsir sebagai masalah pergigian atau isu yang berkaitan dengan telinga, hidung dan tekak (ENT). Itulah sebabnya penting untuk mendengar simptom pesakit dan memahami ciri-ciri kesakitan,” terangnya.
Oleh itu, usaha meningkatkan kesedaran dan mendidik para profesional serta orang ramai mengenai TN amat penting.
Dengan meningkatkan hasil pengesanan awal dan rawatan, kita dapat memastikan tiada individu yang menderita dalam diam untuk tempoh panjang.