LIVERPOOL – Liverpool dan Manchester City menerima tamparan hebat disebabkan keputusan Xabi Alonso kerana boleh memberi impak terhadap usaha mendapatkan bintang Bayer Leverkusen, Florian Wirtz.
Wirtz, 20, dianggap antara pemain terbaik Leverkusen dan diintai banyak kelab setelah muncul salah seorang bakat muda di Eropah selepas meledak 11 gol dan 17 bantuan jaringan dalam 37 penampilan musim ini.
Pada akhir tahun lalu, Wirtz dilaporkan bernilai £95 juta (RM569 juta) jika mahu meninggalkan Leverkusen dan Liverpool disebut-sebut mampu menjadi destinasi berpotensi buat pemain muda berbakat Jerman itu.
Menurut laporan, Liverpool dan City percaya rancangan mereka mendapatkan Wirtz akan terjejas berikutan keputusan Alonso mahu kekal bersama Leverkusen musim depan.
Selain itu, kenyataan bapa Wirtz iaitu Hans-Joachim Wirtz menjelaskan anaknya bersedia untuk kekal di Leverkusen sehingga 2027 yang dilihat boleh menggagalkan usaha dua gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut.
“Hingga 2027, Florian mempunyai kontrak di Leverkusen. Itu kira-kira berapa lama dia akan tinggal di Leverkusen.
“Tiada jawapan apa yang akan berlaku kemudian. Kita harus tunggu dua tahun seterusnya dan kemudian kita akan lihat apa yang berlaku,” kata Hans-Joachim.
Sebelum ini, Alonso menjadi pilihan Liverpool untuk menggantikan pengurus mereka, Jurgen Kloop sebelum pengendali dari Sepanyol itu membuat keputusan mengejut mahu kekal di BayArena sekurang-kurangnya semusim lagi. – AGENSI