fbpx

Mahu jumpa ‘ibu’ lima hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORHAYATI mendukung bayinya selepas diselamatkan polis pada 23 Jun 2005.

SUNGAI PETANI – Meskipun 15 tahun sudah berlalu, kejadian culik melibatkan Mohammad Nursyabil Syakirin Mohammad Nordin masih segar dalam ingatan remaja itu.

Dalam kejadian pada 19 Jun 2005 itu, Mohammad Nursyabil disedari hilang oleh ibunya, Norhayati Abu Bakar selepas enam jam dilahirkan semasa berada di Hospital Sungai Petani di sini.

Mohammad Nursyabil berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpanya selepas melihat ­album gambar keluarga dan keratan akhbar mengenai kejadian tersebut.

Disebabkan itu, Mohammad Nursyabil berhasrat untuk bertemu wanita yang juga bekas jururawat di hospital berkenaan yang menculiknya.

“Apabila meningkat remaja dan mendapat penjelasan daripada ayah dan ibu berkaitan kejadian ini, kemahuan untuk berjumpa dengan bekas jururawat itu semakin menebal.

“Saya juga ingin tahu mengapa dia memilih saya (untuk diculik), bukan bayi-bayi lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Su­ngai Lalang di sini semalam.

Mohammad Nursyabil di­sedari hilang pada pukul 2.30 petang ketika masih dalam pemerhatian di wad bersalin, Hospital Sungai Petani.

Kehilangannya disedari oleh bapanya, Mohammad Nordin Idris selepas pertukaran syif jururawat yang bertugas di wad bersalin berkenaan sebelum membuat laporan polis.

Mohammad Nursyabil kemudiannya ditemui lima hari kemudian dalam jagaan jururawat, Noraini Mat Zainol selepas polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Teluk Wang Kecil di sini pada pukul 3.45 pagi, 23 Jun 2005.

Noraini kemudiannya didakwa di mahkamah dan diperintahkan menjalani rawatan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak selama diperkenan Sultan Kedah pada Mei 2011.

Bercerita lanjut, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Layar itu memberitahu, dia tidak menyimpan dendam sebaliknya mahu me­ngucapkan terima kasih kerana wanita itu menjaganya dengan baik sepanjang lima hari diculik.

Sementara itu, Norhayati, 45, berkata, kejadian culik yang membabitkan anaknya itu masih kekal utuh dalam ingatan mereka sekeluarga

“Terlalu perit kehila­ngan anak yang baru enam jam dilahirkan. Saya hampir gila ke­rana sering menangis teri­ngatkan nasibnya (Mohammad Nursyabil).

“Namun, berkat sabar dan doa, Mohammad Nursyabil ak­hirnya ditemui semula selepas lima hari dia diculik,” katanya.

Norhayati bagaimanapun tidak mengetahui keadaan dan tempat tinggal bekas jururawat yang ditahan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI