MELAKA – Empat pelajar Sekolah Henry Gurney (SHG) Telok Mas di sini menjadi sandaran skuad muay thai Melaka untuk mengutip pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak yang dijadualkan 17 hingga 24 Ogos ini.
Presiden Persatuan Muay Thai Melaka, Haris Alias berkata, dua pelajar lelaki dan dua perempuan yang terpilih akan bertanding bagi kategori wai khru.
Menurutnya, empat atlet berkenaan kini giat menjalani latihan di SHG sambil dibantu seorang jurulatih yang ditempatkan di situ.
“Skuad seramai 20 atlet membabitkan 13 lelaki dan tujuh wanita menyasarkan dua pingat emas dan tiga perak bakal dibawa pulang pada temasya itu nanti. Walaupun empat pelajar itu berlatih secara berasingan daripada atlet muay thai yang lain, namun ini tidak menjadi masalah.
“Mereka terus menjalani latihan pesat di bawah seorang jurulatih dan telah cukup bersedia untuk membawa cabaran Melaka di Sukma Sarawak Ogos ini,” katanya kepada pemberita selepas menerima tajaan RM100,000 daripada Syarikat Avergold Holding Sdn. Bhd. di Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka, Paya Rumput hari ini.
Tambah Haris, sasaran dua pingat emas dan tiga perak adalah realistik berdasarkan keupayaan atlet yang bakal bertanding dalam semua acara termasuk tempur, seni dan wai khru.
Jelasnya, pada temasya sama di Kuala Lumpur, Melaka sekadar meraih dua perak dan lima gangsa.
“Setakat ini persediaan atlet berjalan lancar dan kewibawaan mereka akan diuji pada Kejohanan Antara Kelab-kelab Malaysia, Mei ini. Penajaan RM100,000 sekali gus menyuntik semangat atlet yang akan berjuang habis-habisan di Sarawak nanti,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE