MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer memberi bayangan bahawa beliau sudah bersedia untuk menjual pembelian termahal pasukan itu, Paul Pogba yang dibeli daripada Juventus dengan nilai £89.3 juta (RM482.5 juta) empat tahun lalu.
Solskjaer, 47, dilaporkan sedia menurunkan harga serendah £50 juta (RM270 juta) semata-mata mahu memastikan ada pasukan yang sanggup membeli Pogba yang pernah memenangi Piala Dunia 2018 bersama Perancis.
“Anda perlu tanya sendiri kepada Paul (Pogba) adakah dia gembira berada di sini atau tidak?
“Sekarang bukan waktu yang sesuai untuk berbincang mengenai pemain yang akan masuk dan keluar daripada pasukan ini.
“Saya juga tidak mahu bercakap mengenai ejen Pogba atau urusan-urusan lain yang berkaitan perpindahan,” kata Solskjaer.
Pihak pengurusan The Red Devils dikatakan sudah hilang sabar dengan Pogba kerana gagal memainkan peranan besar sehingga menyaksikan mereka gagal melayakkan diri ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara musim ini.
Seandainya benar, berita itu pastinya akan menarik minat Juventus untuk mendapatkan semula bekas khidmat pemain tengah berusia 27 tahun itu.
Namun, persoalannya adakah skuad kendalian Andrea Pirlo tersebut mempunyai dana seperti yang dimahukan oleh United?
Bagaimanapun, Pogba dikatakan masih diberikan ‘talian hayat’ tetapi perlu menampilkan prestasi setaraf dengan nilai perpindahannya.
Justeru, Pogba tiada pilihan selain mempamerkan kelasnya yang tersendiri dalam pertemuan Manchester Derby menentang musuh setempat, Manchester City pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Old Trafford awal pagi Ahad ini. – AGENSI