Seorang wanita warga emas berusia 90 tahun menjadi individu pertama di dunia diberi suntikan vaksin melawan Covid-19 yang dihasilkan Pfizer-BioNTech selepas United Kingdom melancarkan kempen vaksinasi Selasa lalu.
Di Malaysia tidak kurang hebatnya, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada sidang Dewan Rakyat kelmarin menawarkan diri menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan vaksin Covid-19.
Menganggap dirinya sebagai ‘panglima perang’, beliau tidak gentar atau takut untuk menjadi bahan ujian.
Bung Moktar mahu menyahut cabaran pihak tertentu yang mengesyorkan bahawa vaksin itu perlu diuji terlebih dahulu kepada ahli politik bagi memastikan keberkesanannya sebelum diberikan kepada rakyat.
Ketika sesetengah pihak masih waswas untuk menggunakan vaksin itu, jiran terdekat kita, Indonesia telah menerima 1.2 juta dos vaksin Covid-19 buatan Sinovac dari China pada Ahad lalu dan tambahan 1.8 juta dos lagi awal Januari tahun depan.
Malaysia pula dijangka menerima 1 juta dos vaksin pada suku pertama tahun depan, disusuli suku tahun kedua (1.7 juta), suku tahun ketiga (5.8 juta) dan suku tahun keempat ( 4.3 juta).
Ia selepas kerajaan menandatangani perjanjian pembelian awal vaksin dengan syarikat farmaseutikal, Pfizer bagi membolehkan negara mendapatkan bekalan 12.8 juta dos vaksin.
Thailand juga telah menandatangani perjanjian dengan firma farmaseutikal, AstraZeneca untuk membeli 26 juta dos vaksin Covid-19.
Ketika ini, kebanyakan negara di dunia sedang berlumba-lumba untuk mendapatkan segera vaksin bagi mencegah penularan Covid-19.
Langkah itu amat penting untuk menyelamatkan rakyat masing-masing daripada kematian, kemiskinan, kebuluran, penderitaan dan ketidaktentuan hidup akibat Covid-19. Ekonomi yang sedang tenat juga perlu segera diselamatkan daripada ranap.
Mana-mana negara yang terawal memiliki vaksin Covid-19 akan dapat menyelamatkan rakyat serta ekonomi mereka lebih cepat.
Penggunaan vaksin nampaknya jalan terakhir untuk bebas daripada serangan Covid-19.
Banyak negara yang sebelum ini berjaya melandaikan lengkung Covid-19, namun sekarang kes kembali meningkat termasuk Malaysia.
Sementara menunggu vaksin tiba di Malaysia, rakyat yang ketika ini tersenyum lebar selepas dibenarkan merentas negeri tetapi perlu terus mematuhi prosedur operasi standard pencegahan Covid-19.
Sekarang semuanya terletak di tangan kita sendiri, jika tidak mahu dijangkiti Covid-19, usah mendedahkan diri dengan risiko bahaya virus tersebut.