fbpx

Live 5 minit di TikTok, dapat RM8,500 – Azlee Senario

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelawak Azlee Senario meraih pendapatan lumayan menerusi siaran langsung TikTok.

PETALING JAYA – Pelakon dan pelawak senior, Azlee Senario terharu melihat sokongan peminat yang menghargai kerjayanya dalam bidang seni apabila menyumbang hadiah dalam bentuk ‘koin’ atau ‘gift’ menerusi TikTok.

Bukan mengemis mahupun meminta dikasihani, sebaliknya pemilik nama lengkapnya Muhammad Azlee Jaafar, 57, itu mengakui platform TikTok membantunya meraih pendapatan sampingan menerusi sesi siaran langsung.

“Saya pun tak sangka penangan TikTok ni dan saya baru sahaja belajar. Ada sahabat cadangkan saya untuk buat siaran langsung menerusi platform terbabit.

“Katanya boleh cari duit lebih dan terkejut apabila platform itu boleh jana pendapatan. Saya bersyukur orang beri ‘gift’ sebanyak itu. Memang rasa terharu.

“Ada satu hari, saya buat ‘live’ selama lima minit dan telah meraih RM8,500,” katanya kepada Kosmo! Online.

Kini rancak bersiaran langsung menerusi platform tersebut, Azlee mendedahkan dirinya pernah meraih pendapatan mencecah lima angka dalam masa sebulan.

“Saya tidak buat ‘live’ setiap masa. Saya ada sasaran saya sendiri. Dalam satu hari, saya mencari RM500 dan kalau lebih, itu bonus.

“Dalam sebulan saya boleh dapat RM15,000. Saya akan keluarkan setiap hujung bulan. Saya anggap itu pendapatan bulanan saya.

“Alhamdulillah, setakat ini, duit kereta dan rumah, TikTok yang bayar,” kongsinya.

Bertitik tolak daripada itu, Azlee menyeru anak seni terutama artis senior untuk memanfaatkan platform terbabit demi meraih pendapatan sebagai persediaan sekiranya tiada tawaran kerja.

“TikTok ini boleh menjadi platform untuk meraih pendapatan sampingan terutamanya buat artis-artis lama. Mereka masih ada peminat yang sayang dan mahu berkongsi rezeki.

“Kita lihat sahaja Datuk Red, dia pernah susah sampai terduduk tapi disebabkan dia buang rasa malu dan gunakan platform yang betul, masyarakat sayang pada dia.

“Kita bukan minta sedekah tapi orang yang bagi, itu hadiah daripada orang ramai,” katanya pada Majlis Iftar & Tayangan Video Raya Suria FM, kelmarin.

Dalam perkembangan lain, Azlee turut membuat kemunculan istimewa menerusi drama Hari Raya Suria FM yang berjudul, Suami Raya.

Drama Suami Raya kini boleh ditonton menerusi saluran YouTube Suria FM. — KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI