MENYEDARI penerimaan muzik di negara ini agak baik, band yang mahu dikenali sebagai Life Petal tidak mahu berlengah. Mereka juga mahu mencari peluang untuk melebarkan sayapnya di Malaysia.
Menurut kumpulan yang berasal dari Singapura itu, sudah tiba masanya untuk mereka mencari tapak, keluar dari tanah air sendiri, seiring dengan misi Life Petal yang mahu mewangi seantero Nusantara.
Tidak hanya tertumpu kepada satu kelompok peminat di seberang tambak, Life Petal ingin meluaskan perjuangan muzik mereka serta berkongsi bakat menerusi muzik.
Justeru, sebagai pengenalan, Life Petal yang dianggotai Luqman di posisi bass, Zax Ramli (penyanyi utama), Farah (penyanyi kedua), Yusuf (gitar pertama), Iskandar Jeff (gitar kedua), Lee (dram) dan Hadi (bass) ini tampil dengan single berjudul Pilu.
“Asalnya kami sekadar mahu merakamkan lagu untuk puaskan hati tetapi ada otai menasihatkan kami untuk cuba promosikan muzik Life Petal di radio dan akhbar Singapura dulu.
“Kemudian, dari situlah tercetusnya idea untuk cuba memasarkan lagu-lagu kami di luar Singapura.
“Kebetulan saya sedang menuntut di sebuah universiti di Malaysia, jadi mudah juga untuk saya buat promosi di sini,” kata Luqman selaku ketua kumpulan.
Sejak penubuhan pada 2014, Life Petal sudah merakamkan enam buah lagu. Semua lagu tersebut merupakan hasil ciptaan anggota kumpulan berkenaan.
Pilu
Berkongsi mengenai single terbaharu berjudul Pilu, Zax Ramli menjelaskan, lagu tersebut disuntik dengan beberapa elemen berbeza bagi menampilkan kelainan identiti mereka.
“Band Life Petal ada pelbagai konsep dan elemen. Kalau untuk single Pilu, muzik simfonic rockestra menjadi taruhan kami. Pilu merupakan kesinambungan single sulung berjudul Permataku.
“Lagu Pilu tidak fokus terhadap satu kisah di sebalik penceritaan. Terpulang kepada pendengar untuk kaitkan dengan situasi apa yang dirasakan sesuai.
“Kalau menurut pemahaman kami, lagu ini tentang kekecewaan dan percanggahan dua pendapat. Alhamdullilah, single Pilu telah mendapat respons positif daripada peminat,” katanya.
Dianggotai seramai tujuh ahli, sudah tentu Life Petal tidak dapat lari daripada berlakunya percanggahan pendapat. Mengambil pendekatan untuk menghormati idea setiap orang, itu kunci utama yang ditekankan band itu.
“Sepanjang enam tahun penubuhan, kami akui terpaksa berdepan dengan keluar dan masuk anggota.
“Mungkin kami ramai, tetapi sebenarnya masing-masing ada kepentingan dalam menggerakkan Life Petal. Kami sentiasa berbincang, dari situ kami berkongsi idea dan mencapai kata sepakat.
“Kami mahu elakkan ada rasa tidak puas hati dan salah faham. Cara penyelesaiannya adalah dengan kerap berkomunikasi ,” kata Iskandar.
Harapan Life Petal agar muzik mereka disambut baik peminat tidak kira lapisan usia dan latar budaya.