SEPANG – Jaguh angkat berat negara, Mohammad Aniq Kasdan berjaya melangkah ke pentas Sukan Olimpik Paris 2024 selepas tamat kejohanan kelayakan terakhir angkat berat di Phuket, Thailand hari ini.
Pada Kejohanan Piala Dunia IWF tersebut, Aniq yang beraksi dalam kategori 61 kilogram (kg) dilihat gagal mengulangi pencapaian terbaik sewaktu di Qatar, Disember lalu dengan angkatan 296 kilogram (kg) apabila hanya mampu melakukan 290kg.
Biarpun sekadar menamatkan saingan tempat kelapan, namun kedudukan tersebut tidak terjejas apabila Aniq tetap layak ke Paris bersama 12 atlet yang lain ke temasya berprestij dunia tersebut.
Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat mengesahkan berita baik tersebut apabila Aniq layak ke Paris secara merit.
“Mohamad Aniq sah ke Sukan Olimpik 2024 namun persembahan beliau kurang memuaskan memandangkan beliau gagal capai sasaran angkatan jumlah keseluruhan 300kg,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Pada saingan tersebut, jaguh angkat berat China dan juga pemenang pingat emas Olimpik Tokyo 2020, Li Fabin tampil cemerlang dengan angkatan keseluruhan 312kg dan atlet Korea Utara, Park Myongjin raih perak dengan 301kg dan dan Ceniza John gangsa (300kg).
Untuk rekod, kali terakhir angkat berat berada dalam kontinjen negara ke temasya terbesar dunia itu adalah di Olimpik Rio 2016 dalam kategori 69kg menerusi Mohd. Hafifi Mansor. – KOSMO! ONLINE