ALOR SETAR – Kedah dijangka mengalami taburan hujan yang banyak pada lewat petang hingga malam sepanjang bulan ini ekoran peralihan monsun.
Menurut Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) Kedah, Muhammad Khalil Abd Aziz, fasa peralihan monsun itu juga akan mengakibatkan kejadian angin kencang dan ribut dalam jangka masa singkat.
“Kita sudah memasuki peralihan monsun sejak 29 Mac lepas dengan cuaca akan cerah sebelah pagi dan petang hingga awal malam serta ada ribut petir.
“Taburan hujan bagi peralihan monsun ini tinggi bermula pukul 4 petang hingga malam. Selain itu kejadian ribut petir akibat peralihan monsun ini juga akan mengakibatkan angin kencang, jadi kita nasihatkan penduduk sentiasa berjaga-jaga.
“Seluruh negeri ini juga berpotensi untuk kejadian ribut, contoh hari ini di Padang Terap esok di Kulim bukan berlaku kerap di satu-satu tempat sahaja terutama di kawasan landai dan rata,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah beliau, bermulanya peralihan monsun itu juga menandakan suhu di seluruh negeri ini akan turun berbanding suhu panas sehingga 37 darjah Celsius ketika El Nino sebelum ini.
“Suhu maksimum harian sebelum ini boleh menjangkau 38 darjah Celcius tetapi untuk musim peralihan ini akan turun sekitar 32 hingga 34 darjah Celsius pada waktu siang,” katanya. – KOSMO! ONLINE