fbpx

Megat Ashman dikebumi di Christchurch esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Megat Ashman Aqif yang maut dalam nahas di Lake Tekapo, New Zealand.

IPOH – Allahyarham Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni, 21, yang maut akibat kemalangan di Lake Tekapo, New Zealand pada 30 Mac lalu disemadikan di Muslim Cemetery di Bromley, Christchurch esok.

Menurut neneknya, Norhanita Mior Mohd. Noor, 62, jenazah cucunya itu dijadualkan tiba di Masjid An Nur pada pukul 10 pagi waktu tempatan untuk dimandi serta dikafankan sebelum ditatap buat kali terakhir oleh seluruh ahli keluarga dan kenalannya.

“Pada pukul 1.30 petang, pelaksanaan solat jenazah akan dilakukan selepas selesai solat zuhur. Seterusnya pada 2.30 petang berangkat ke tanah perkuburan Muslim Cemetery di Bromley, Christchurch untuk pengebumian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Selain Megat Ashman Aqif, seorang lagi pelajar Malaysia, Wan Nur Adlina Alisa dari University of Canterbury turut terkorban dalam kemalangan yang berlaku pada pukul 1.45 petang waktu tempatan.

Tiga lagi pelajar cedera dalam nahas sama iaitu Nur Firas Wafiyyah dan Lya Issable Anak Walton dari University of Canterbury serta Muhamad Faris Mohd Fairusham dari Victoria University of Wellington.

Sementara itu, ibu Allahyarham, Noor Aishah Abdul Latif, 49, dijangka tiba di Christchurch kira-kira pukul 10.30 pagi waktu tempatan esok.

Katanya, dia menaiki penerbangan Singapore Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 4.55 petang hari ini.

“Menemani saya ke negara tersebut ialah adik Allahyarham iaitu Megat Rayyan Dashrin, 18, dan kami berlepas ke New Zealand dari KLIA petang ini (semalam). Penerbangan itu transit di Singapura sebelum terus ke Christchurch,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI