KOTA TINGGI – Sebanyak 150 lokasi yang melibatkan 70 District Metered Area (DMA) di negeri ini dipantau awal bagi mengelakkan berlaku gangguan bekalan air semasa perayaan Aidilfitri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastuktur dan Komunikasi negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata langkah awal itu menerusi kaedah pengolahan air dijangka dapat menyelesaikan 80 peratus isu air di lokasi yang terlibat.
“Kita sudah buat pengolahan sistem, kerana ketika hari raya permintaan berbeza, yang mana permintaan (penggunaan air) di kawasan bandar dan kilang berkurangan.
“Kaedah lain kita laksanakan ‘Inline injection’ air akan dimasukkan menerusi pili bomba, kaedah ‘Online injection’ letakkan tangki yang disalurkan ke lokasi tekanan air renda akibat berada dihujung sistem dan meletakkan tangki statik diletakkan ditempat strategik.
“Kita sudah sediakan langkah yang perlu untuk mengatasi gangguan bekalan air, tetapi mungkin ada beberapa tempat berada diluar kawalan seperti kejadian paip pecah,” katanya pada sidang media selepas melawat projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Johor, Kota Tinggi di sini hari ini.
Mohamad Fazli berkata untuk isu gangguan air di beberapa lokasi seperti di Kempas adalah disebabkan kekeruhan air di Sungai.
Katanya keadaan itu menjadikan proses rawatan air menjadi rumit dan mengambil masa bagaimanapun plan sokongan telah pun dilaksanakan dan akan selesai dalam tempoh tiga hari.
Dalam pada itu, beliau berkata paras takungan air empangan di tiga empangan di negeri ini dikesan menghampiri paras kritikal ekoran cuaca panas sejak bulan lalu.- KOSMO! ONLINE