fbpx

Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia 9 Mei ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penerbangan pertama jemaah haji dari Malaysia ke tanah suci untuk tahun ini dijadualkan pada 9 Mei, manakala penerbangan terakhir pula adalah pada 9 Jun, menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman.

Katanya, kuota haji bagi Jemaah dari Malaysia kekal sebagaimana yang diumumkan Arab Saudi sebelum ini, iaitu pada 31,600 orang.

“Kami telah berusaha mendapatkan kuota tambahan, namun masih terlalu awal untuk mendapatkan jawapan.

“Kesemua 31,600 bakal jemaah haji telah pun menerima tawaran masing-masing, kebanyakannya memang giliran mereka jatuh pada 1445 Hijrah (tahun ini), namun ada juga yang tertangguh dari tahun-tahun sebelum ini.

“Selain itu, kira-kira enam peratus daripada Jemaah haji tahun ini adalah mereka yang membuat rayuan untuk menunaikan haji,” katanya pada sidang akhbar Pengumuman Agihan Keuntungan 2023 di Menara TH di sini hari ini.

Berhubung pelan untuk meneliti semula kadar deposit pendaftaran haji daripada RM1,300 buat masa ini supaya lebih mencerminkan kos semasa untuk menunaikan haji, Syed Hamadah menjelaskan, perkara itu masih dalam penelitian dan bakal diumumkan dalam jangka masa terdekat.

Berhubung persoalan sama ada dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH akan didedahkan kepada awam akan tidak, beliau memberitahu ia bergantung sepenuhnya kepada keputusan kerajaan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan, Mustakim Mohamad berkata, pihaknya masih dalam peringkat perbincangan awal bersama kerajaan mengenai keperluan untuk menuntut semula sebahagian daripada asetnya yang diambil alih kerajaan pada 2018 menerusi Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB).

“Kami akan membuat penilaian sama ada pengembalian aset ini akan memanfaatkan TH atau tidak, kemudian menentukan aset mana yang akan dikembalikan atau kekal bersama UJSB,” ujarnya.

UJSB merupakan syarikat tujuan khas dibawah Kementerian Kewangan yang mengambil alih aset kurang berprestasi daripada TH pada 2018, melibatkan nilai kira-kira RM9.7 bilion pada masa itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI