PUTRAJAYA – Kerajaan akan memantau secara dekat setiap agensi penguatkuasaan bagi mengelak dari terpalit isu kecurangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia ekoran terdapat segelintir penguat kuasa yang masih dikesan mengamalkan amalan rasuah serta salah guna kuasa.
“Ini peringatan badan penguatkuasaan bukan sahaja Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Imigresen dan kita sedang pantau dari dekat.
“Saya harap sangat supaya kita dapat elakkan laporan-laporan kecurangan ini, kerana majoriti itu memang hasrat untuk buat kebaikan tapi kadang-kadang dihidup dalam budaya sakau semua jadi dia (penguat kuasa) pun terpaksa ambil,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut menghargai langkah segera yang diambil oleh Ketua Pengarah JKDM melalui tindakan serius terhadap mereka yang terlibat dalam isu rasuah.
“Saya ucap tahniah kepada Ketua Pengarah Kastam…sebab dia tidak melihat dari segi negatif tetapi terus ambil tindakan, tukar, ambil tindakan disiplin dan sebagainya.
“Jadi jangan biarkan sekelumit ini mencacatkan imej perkhidmatan awam, kalau ada tindakan seperti dilakukan Ketua Pengarah Kastam, saya ucap tahniah,” ujarnya.
Jumaat lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan, jumlah ketirisan akibat kegiatan sindiket penyeludupan membabitkan beberapa anggota kastam di Kargo KLIA mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun lalu.
Katanya, setakat ini seramai 34 anggota penguat kuasa dan 27 individu serta pemilik syarikat ditahan menerusi Ops Samba 2.0 kerana melindungi dan memudahkan aktiviti penyeludupan sindiket itu.
Anggota dan pegawai penguat kuasa berusia 30 hingga 50 ditahan dipercayai menerima wang rasuah lebih RM4.7 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan penyeludupan tembakau kunyah, rokok, arak, produk kesihatan dan alat ganti kenderaan. – KOSMO! ONLINE