fbpx

126 sampel makanan di bazar Ramadan KL dicemari kuman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penguat kuasa ketika menjalankan tugas di bazar Ramadan sekitar ibu negara. Foto ihsan DBKL

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan sebanyak 82 kompaun serta notis terhadap peniaga bazar Ramadan sekitar ibu negara berikutan pengendalian makanan tidak memuaskan.

DBKL berkata, selain melakukan pemeriksaan kehendak-kehendak kesihatan kepada peniaga bazar, pihaknya juga mengambil sampel makanan yang dijual.

Katanya, setakat 29 Mac ini, pihaknya mengambil sebanyak 1060 jenis sampel makanan dari pelbagai bazar untuk dihantar ke Makmal Pusat Analisis dan sekuriti Makanan (FOSAC) JKAS, DBKL yang terletak di Pasar Borong Kuala Lumpur.

“Terdapat tiga ‘strain’ bakteria utama di lakukan pemeriksaan iaitu E.Coli, Coliform dan Staphylococcus yang merupakan petunjuk terhadap pengendalian sepanjang proses makanan disiapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, kehadiran bakteria ini berkait rapat dengan proses penyediaan makanan yang tidak bersih, dimasak tidak sempurna atau kebersihan diri pengendali makanan tersebut yang tidak memuaskan.

Hasil analisis tersebut mendapati 126 atau 11.9 peratus sampel makanan bazar Ramadhan telah dicemari oleh kuman.

“Sebanyak 82 kompaun dan notis kepada peniaga bazar kerana melanggar Seksyen 6(1) Undang-Undang Pengendalian Makanan WPKL (1979), iaitu makanan kotor atau mengandungi bahan asing.

“Seramai 2404 peniaga juga telah diperiksa. Kompaun dan notis turut dikeluarkan atas kesalahan tidak mengambil suntikan vaksin tifoid dan diletakkan mengikut Undang-undang Kecil Pengendalian Makanan (1979) serta Undang-undang Kecil Pelesenan Penjaja WPKL (2016),” jelasnya.

Selain itu, teguran dan amaran juga diberikan kepada peniaga agar menjaga kebersihan dan keselamatan makanan antaranya dengan memastikan makanan tidak terdedah lama dan ketulan air batu tidak diletak di atas lantai atau jalan.

“Peniaga turut diingatkan mengenai “zero single use plastic” dan menggunakan bahan yang mudah terurai.

“Para pembeli dinasihatkan agar memilih makanan yang bersih, sihat dan selamat serta pada masa yang sama turut digalakkan membawa bekas makanan sendiri,” pesannya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI