IPOH – Jenazah pelajar Malaysia, Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni, 21, yang maut dalam kemalangan di New Zealand pada minggu lalu akan dikebumikan di negara tersebut.
Perkara itu disahkan oleh bapanya, Megat Irman Jefni yang sudah berada di negara berkenaan ketika ini bagi urusan jenazah anaknya.
Megat Irman berkata, jenazah anaknya akan dikebumikan di New Zealand.
“Jenazah akan dikebumikan di sini (New Zealand). Beberapa ahli keluarga terdekat juga dalam perjalanan ke sini untuk menghadiri pengebumian di sini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau bagaimana pun tidak menjelaskan bila tarikh pengebumian kerana dia baru sampai di negara itu.
Sementara itu, ibu kepada pelajar terbabit, Noor Aishah Abdul Latif berkata, dia reda dengan keputusan jenazah anaknya dikebumikan di New Zealand.
“Saya reda dia dikebumikan di sana, lebih mudah urusannya. Dikebumikan di Christchurch (New Zealand),” katanya ketika ditemui di Kampar hari ini.
Menurut Noor Aishah, dia kini dalam usaha untuk menaiki penerbangan ke negara tersebut bagi urusan jenazah anaknya.
“Namun setakat ini saya belum dapat tiket penerbangan ke sana. Saya berusaha untuk mendapatkan tiket penerbangan yang paling cepat untuk saya boleh sampai ke negara itu,” katanya.
Katanya, disebabkan keputusan lokasi pengebumian baru sahaja dibuat, dia agak tergesa-gesa untuk ke Kuala Lumpur bagi mencari penerbangan ke New Zealand.
“Sebaik sahaja dapat keputusan jenazah anak dikebumikan di sana, saya hendak ke Kuala Lumpur menaiki ETS (perkhidmatan tren elektrik) dari Stesen KTMB Kampar.
“Agak sukar juga untuk mendapatkan tiket ETS ketika ini, namun akhirnya berjaya juga.
“Saya akan berusaha mendapatkan penerbangan ke New Zealand demi anak saya,” katanya.
Selain Megat Ashman Aqif, seorang lagi pelajar Malaysia, Wan Nur Adlina Alisa dari University of Canterbury turut terkorban dalam kemalangan yang berlaku pada pukul 1.45 petang waktu tempatan kelmarin.
Tiga lagi pelajar cedera dalam nahas sama iaitu Nur Firas Wafiyyah dan Lya Issable Anak Walton dari University of Canterbury serta Muhamad Faris Mohd Fairusham dari Victoria University of Wellington. -KOSMO! ONLINE.