fbpx

Hampir putus asa, murid darjah empat akhirnya sertai ITTF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WEI YEOW teruja menerima bantuan dana sebanyak RM3,000 daripada Muhammad Fikri di SJKC Pay Teck, Melaka, hari ini. - Foto SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Seorang murid darjah empat tidak menyangka impiannya untuk menyertai kejohanan ping pong di peringkat antarabangsa bakal tercapai apabila sebuah syarikat bina, Beaks Construction Sdn. Bhd. (Beaks) tampil memberikan bantuan.

Menurut bapanya, Koh Ho Thong, 50, dia dan isteri, Wai Siew Chuan, 44, sebelum ini menghadapi masalah kewangan untuk membeli peralatan sukan bagi, Koh Wei Yeow, 11, yang ingin menyertai International Table Tennis Federation (ITTF) Asia Hopes Week & Challenge 2024.

Katanya, pelbagai usaha telah dilakukan termasuk membuat lebih lima permohonan bagi mendapatkan bantuan dana, namun kesemuanya ditolak pelbagai pihak.

“Kami hampir putus asa kerana semua usaha untuk dapatkan dana tidak berhasil, jadi apabila diberitahu Beaks ingin memberikan sumbangan sebanyak RM3,000 kami sangat terharu dan berterima kasih.

“Anak kami sangat gembira dan semakin semangat untuk mewakili Melaka bersama seorang lagi murid wakil dari Kuala Lumpur ke pertandingan itu yang dijangka berlangsung di Thailand pada April ini,” katanya ketika ditemui di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pay Teck hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Beaks, Muhammad Fikri Mohd. Ali berkata, pemberian dana itu merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan oleh syarikatnya pada bulan Ramadan tahun ini.

“Pada bulan Ramadan ini kita bukan membantu anak-anak asnaf atau sumbangan itu terhad diberikan kepada umat Islam sahaja tetapi kepada mereka yang memerlukan termasuklah dalam situasi Wei Yeow ini.

“Saya dimaklumkan keluarganya kekurangan dana untuk kos kelengkapan peralatan sukan ke pertandingan tersebut, jadi saya tampil bantu kerana percaya konsep sumbangan dalam Islam itu luas,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya turut berharap kerjasama diberikan itu turut menghidupkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI