BANDAR Verona, Itali berubah wajah dengan keindahan lukisan mural aneka hidangan makanan lazat seperti buah-buahan, minuman, kek cawan, piza dan sosej.
Ia merupakan hasil karya pelukis jalanan Pier Paolo Spinazze yang bertujuan menutup contengan-contengan berunsur kebencian dan negatif kepada sesuatu menyeronokkan dengan gambar makanan enak.
Spinazze yang menggunakan nama samaran Cibo bermaksud makanan dalam bahasa Itali telah melukis mural juadah di atas contengan simbol neofasis serta neo-Nazi yang banyak diconteng di dinding sekitar bandar itu.
Neofasis adalah kumpulan politik atau berideologi yang diinspirasikan daripada rejim Fasisme dan Nazi di Jerman, Itali dan negara-negara Eropah yang lain.
Neo-Nazi adalah ideologi pasca-Perang Dunia Kedua yang ingin menghidupkan kembali Nazisme.
Bukan itu sahaja, kata-kata jelik serta diskriminasi juga ditutup dengan semburan cat berwarna-warni yang menukarnya kepada pemandangan indah dengan hidangan membuka selera seperti lukisan strawberi gergasi, hidangan pasta dengan dilapisi tomato dan keju parmesan serta macam-macam juadah lagi.
Karya-karya Cibo bukan sekadar mural kerana meraikan tradisi makanan Itali dan pada masa sama menyampaikan mesej keharmonian, keamanan serta keindahan kepada masyarakat.
Menurut Cibo, bagi orang Itali, makanan bukan sekadar untuk mengisi perut dan memberi khasiat kepada badan tetapi juga menjadi identiti dan budaya yang sangat dibanggakan oleh warganya.
“Itali merupakan negara yang terkenal dengan kehebatan makanan yang memberi idea kepada saya untuk berkarya.
“Seni jalanan yang terbuka di khalayak umum ini adalah cara saya menyampaikan mesej kedamaian dan bandar Verona adalah galeri peribadi untuk memulakan usaha tersebut,” katanya yang bergelar pelukis jalanan sejak 22 tahun lalu.
Dia merasakan bahawa menghapuskan kebencian itu adalah tanggungjawabnya kepada negara.
Oleh itu, Cibo menyeru agar tanggungjawab tersebut dipikul oleh semua warganegara untuk mempertahankan kebebasan dan kedamaian dengan kemahiran atau bakat masing-masing.
Menggunakan fikiran yang kreatif dan kepakarannya dalam seni mural, Cibo memberi ‘rasa’ dan keindahan di bandar-bandar seluruh Itali dengan lukisan grafiti makanan terbaik negara tersebut dan Mediterranean.
Perjuangannya menghapuskan tulisan grafiti negatif sejak 11 tahun lalu membuatkan namanya terkenal di seluruh dunia.
Terang Cibo, ada kisah yang menjadi pencetus kepadanya untuk berjuang habis-habisan memadam kata-kata negatif dan kebencian itu.
“Saya menyaksikan keganasan sekumpulan neofasis yang membunuh rakan universiti 11 tahun lalu.
“Sejak itu saya memutuskan untuk melakukan sesuatu dan menghentikan segala perkara yang berunsur kebencian,” katanya.
Tidak lama selepas kematian rakannya itu, Cibo menjumpai dinding yang dicemari kata-kata kesat termasuklah fasis.
Lantas dengan hati sebak dia melukis makanan di atasnya dan cat berwarna-warni.
Sejak hari itu, tiada siapa yang boleh menghentikan langkahnya walaupun keselamatan bakal terancam oleh penyokong kumpulan neofasis dan Neo-Nazi.
Beberapa hari selepas siap lukisannya, dia menyedari ada orang yang menconteng lukisan tersebut dengan simbol Nazi dan sebagainya.
Ahli kumpulan neofasis itu seolah-olah ingin berperang dengan Cibo yang mana mereka akan kembali mengotori lukisan tersebut dengan menyembur cat serta tulisan menjelikkan.
Perbuatan tersebut tidak mematahkan semangatnya, malah jiwanya semakin berkobar-kobar untuk menghasilkan lukisan baharu yang lebih besar dan terperinci.
“Senjata saya ialah seni dan budaya untuk memulihkan kembali keharmonian bandar ini.
“Oleh itu, setiap kali mereka merosakkan karya ini, saya akan memperbaikinya dan menambahkan makanan lazat di atasnya,” tuturnya.
Ujar Cibo, dengan cara tersebut kebencian mereka telah menjadi sebahagian daripada ‘masakan’.
Bagi Cibo, dia memilih untuk melaksanakannya melalui seni jalanan yang segar.
Dia menegaskan bahawa apa yang dilakukan olehnya bukanlah perkara luar biasa. Sebaliknya, lebih memalukan jika kita tidak berbuat apa-apa.
Hasil karya Cibo membawa makna penting yang mencerminkan kecintaan seseorang terhadap ruang awam dengan memulihkan dan memelihara hiasan jalanan.
Dia membuktikan bahawa seni dapat mengubah kota tersebut yang dahulunya dipenuhi dengan lukisan serta tulisan kebencian kepada makanan enak dan mencetus suasana harmoni.
Jelas Cibo, pada awalnya bukan mudah untuk menjalankan kerja tersebut kerana tidak mendapat sokongan daripada kawan-kawan.
“Saya percaya mereka bersikap demikian kerana risaukan keselamatan dan bukannya mementingkan diri sendiri.
“Setelah lebih satu dekad melakukan kerja-kerja ini saya bukan sahaja mendapat sokongan daripada rakan-rakan tetapi masyarakat setempat turut menyambut baik,” katanya.
Ketika seniman lain menghasilkan karya berharga ribuan euro, namun Cibo pula berjuang di tengah-tengah khalayak untuk menghasilkan lukisan yang mendidik masyarakat untuk mencintai kedamaian serta menolak kebencian.
“Saya sangat peduli tentang apa yang terjadi dalam masyarakat dan menghormati sejarah negara ini.
“Saya sangat sukakan pekerjaan ini walaupun tidak mendapat sebarang bayaran tetapi tetap positif dan bekerja keras selama bertahun-tahun dengan melakukan semuanya seorang diri,” ulasnya.