fbpx

4,000 baju raya percuma untuk orang JB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FATIMAH menunjukkan sebahagian baju kurung hasil sumbangan orang ramai untuk diagihkan secara percuma kepada golongan yang memerlukan di Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Sempena kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi, seorang ibu tunggal mengambil inisiatif mengagihkan ­pakaian raya secara percuma kepada orang ramai di warung miliknya di Kampung Sentosa, di sini sejak 2 Ramadan lalu.

Fatimah Halid, 44, berkata, lebih 4,000 baju raya dikumpulkan hasil sumbangan orang ramai untuk diagihkan kepada golo­ngan yang kurang berkemampuan.

“Saya sedar tidak semua orang mampu membeli baju raya, lebih-lebih lagi dalam keadaan eko­nomi mencabar ketika ini. Ini adalah tahun keempat program amal ini dilaksanakan.

“Semua pakaian yang dikumpul dalam keadaan baik dan bersih. Terdapat pelbagai saiz untuk semua peringkat usia,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Fatimah, sambutan yang diterima amat menggalakkan, malah ada yang sanggup datang dari Megah Ria, Masai, Plentong, Pasir Gudang dan Ulu Tiram untuk mendapatkan pakai­an percuma tersebut.

“Setakat ini, kira-kira 1,000 pakaian raya percuma telah diagih­kan. Kebanyakan mereka yang datang ini menyatakan terpaksa berjimat membeli baju raya ­kera­na­ mendahulukan perbelanjaan lain termasuk persekolahan anak-anak,” katanya.

Selain pakaian, Fatimah turut mengumpul selipar, kasut, tudung, songkok, kuih raya dan kerepek.

“Saya pernah tempuh detik sukar sebelum ini, jadi saya memahami keperitan orang lain,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, Siti Kartini Abdullah, 55, melahirkan rasa syukur mendapat pakaian raya untuk ahli keluarganya.

“Selama dua tahun, kami tidak beli pakaian raya untuk anak kerana masalah kewangan. Saya tahu tentang sumbangan ini dari Facebook,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI