PASIR MAS – Seorang warga emas yang menghidap asma mengalami sesak nafas apabila terkejut selepas sebuah lori penuh muatan tanah terbabas sebelum merempuh beranda rumahnya di Cabang Tiga Gelang Mas, di sini hari ini.
Kejadian pukul 12 tengah hari itu menyebabkan Yusof Mamat, 74, yang bergantung pada mesin oksigen mengalami trauma kerana lori tersebut terbabas hampir dengan tempat dia sedang berbaring di atas katil.
Anaknya, Roshidi Abdullah, 45, berkata, ketika kejadian, dia berada di ruang dapur bersama ahli keluarganya yang lain.
Menurutnya, dia tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat disusuli suara ayahnya menjerit ketakutan di ruang tamu.
“Saya terus bergegas ke ruang tamu berhampiran tempat ayah baring di atas katil sebelum melihat sebuah lori terbalik menimpa beranda.
“Kejadian itu menyebabkan pagar beranda di rumah kami runtuh dan terpaksa menangung kerugian hampir RM10,000,” katanya ketika ditemui pemberita di Cabang Tiga Gelang Mas, di sini hari ini.
Roshidi memberitahu, dia bersyukur apabila semua ahli keluarga selamat dalam kejadian tersebut meskipun ayahnya mengalami sedikit trauma kerana kemalangan itu berlaku depan mata.
Menurutnya, pemandu lori terbabit yang berusia 25 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, lori terbabit dikatakan dari Bukit Lata, Pasir Mas menghala ke Tumpat sebelum terbabas apabila cuba mengelak sebuah kereta. – KOSMO! ONLINE