SEREMBAN – Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan menjadi yatim piatu sekelip mata apabila ibu bapanya maut dalam kemalangan di Persiaran Forest Heights 1 di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 7.20 pagi itu, mangsa yang meninggal dunia ialah Aswan Sulaiman, 29, dan isterinya, Nur Khairunnisya Samsudin, 23. Mereka disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi berkenaan.
Menurut bapa Nur Khairunnisya, Samsudin Basirun, 52, dia dihubungi anggota polis pada pukul 7.52 pagi yang memaklumkan anak bongsu dari tiga beradik itu terlibat nahas, namun beranggapan ia kemalangan biasa.
“Tapi kedua-dua mereka (anak dan menantu) dah tak ada. Saya rasa nak pengsan. Saya segera pergi ke tempat kejadian dan sempat lihat mereka (mayat) di lokasi. Baru sahaja kami bersahur bersama pagi tadi.
“Sebelum ini mereka kelihatan teruja melakukan persiapan untuk pulang beraya di Sabah kerana sejak berkahwin mereka belum pernah pulang ke sana,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar hari ini.
Samsudin berkata, keluarganya akan menjaga anak pasangan itu yang merupakan cucu keduanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Hatta Che berkata, kemalangan membabitkan motosikal yang ditunggang suami isteri tersebut dan sebuah kereta dipandu remaja perempuan berusia 19 tahun.
Siasatan awal mendapati remaja itu memandu dari arah Seremban Jaya. Setibanya di lokasi dia membelok ke kanan dan secara tiba-tiba motosikal yang datang dari arah bertentangan melanggar sisi kiri kereta tersebut.
– KOSMO! ONLINE