PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di Istana Negara, hari ini.
Dalam hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda sekali lagi menegaskan bahawa memerangi ancaman rasuah sebagai musuh nombor satu negara adalah antara tumpuan utama.
“Sebagaimana saya tegaskan sebelum ini, My honeymoon is over, now go catch the bees,” titah Seri Paduka Baginda.
Dalam pertemuan yang berlangsung selama 30 minit itu, Seri Paduka Baginda turut menyerahkan madu kepada Azam sebagai simbolik berakhirnya tempoh ‘bulan madu’.
Sebelum ini, Seri Paduka Baginda bertitah akan memulakan cara pemerintahan yang sebenar selepas tempoh ‘bulan madu’ tamat apabila genap dua bulan memegang tampuk pemerintahan negara.
Ketika itu, Sultan Ibrahim menegaskan bahawa Seri Paduka Baginda memikul amanah Raja-Raja Melayu untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara. – KOSMO! ONLINE