fbpx

807 projek rumah sakit, lewat, terbengkalai babit RM201 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 807 projek perumahan sakit, lewat dan terbengkalai direkodkan Pasukan Khas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST), setakat 29 Februari lalu.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, ia meliputi sebanyak 230 projek lewat, projek sakit (462) dan 115 projek terbengkalai.

Menurutnya, statistik tersebut disahkan oleh TFST dalam satu mesyuarat baru-baru ini dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM201.75 bilion.

“Bagaimanapun, nilai itu menunjukkan pengurangan kepada bilangan projek lewat, sakit dan terbengkalai berbanding sebelum ini (sehingga 31 Januari 2024),” katanya pada sidang akhbar di Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut, Aiman Athirah berkata, bagi tempoh yang sama, sebanyak 88 projek bersamaan 10,560 unit perumahan swasta berjaya dipulihkan dengan nilai GDV RM8.23 bilion.

“Ia merangkumi 81 projek berjaya mendapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) termasuk lima projek lewat yang kembali lancar serta dua projek terbengkalai kembali pulih.

“Dua projek perumahan swasta terbengkalai yang berjaya diselesaikan adalah Taman Daya Astana Squate, Kepong, Selangor yang sudah memperolehi sijil kelayakan menduduki.

“Selain itu, Perpaduan Heights fasa satu dan dua di Kuala Pilah, Negeri Sembilan selesai dipulihkan melalui kaedah penyelesaian pembeli dan kerajaan negeri,” ujarnya.

Tambah Aiman Athirah, pihaknya akan terus mempergiatkan libat urus bersama agensi teknikal, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta institusi kewangan bagi membuat pemantauan terhadap kemajuan projek perumahan swasta.

“Bagi memasitikan unjuran projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai berakhir pada Disember 2024.

“Adalah kekal ataupun kurang daripada 505 projek perumahan sakit seperti mana yang disasarkan tahun ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI