PETALING JAYA – “Karnival itu dibungkus (ditutup) bukan sebab saya, tapi disebabkan jualan sendu!”
Itu penegasan pengacara sensasi, Azwan Ali menjawab tuduhan dirinya dikatakan sebagai punca penutupan Karnival Fiesta Raya Baling 2024, gara-gara bertindak membuat persembahan tarian ala dangdut, baru-baru ini.
Azwan atau mesra disapa Diva AA berkata, kejadian yang berlaku merupakan satu fitnah terbesar membabitkan dirinya dan dia tidak akan teragak-agak untuk membuat tuntutan saman terhadap pihak yang telah memalukan dirinya.
“Tuduhan ini merupakan fitnah terbesar dan saya tidak akan teragak-agak untuk membuat tuntutan saman terhadap pihak yang telah memalukan saya.
“Jangan kurang ajar dengan saya. Mereka dakwa (penganjur) sebagai tetamu tidak diundang? Tunggu surat peguam (saman) saya,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ujar pengacara berusia 58 tahun itu, penutupan karnival yang dikatakan berpunca daripada tindakannya menari di atas pentas, sehingga menimbulkan rasa kurang senang masyarakat, telah dimanipulasi pihak tidak bertanggung jawab yang mahu menjatuhkan reputasinya.
“Saya tidak ada kena mengena. Karnival itu ditutup bukan selepas saya membuat persembahan, tapi hakikatnya karnival itu dibungkus sebab jualan sendu (perlahan), tidak ada orang.
“Namun isu saya menari di atas pentas itu telah dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mahu menjatuhkan nama saya.
“Jangan memporak-perandakan keadaan. Saya dipuji pada awalnya. Tapi kenapa bila saya balik, jadi bermuka-muka? Depan saya bukan main puji,” katanya.
Sehubungan itu, Azwan berkata dia tidak akan meminta maaf kepada rakyat negeri Kedah atas apa yang berlaku, malah dia sedikit pun tidak terkesan dan akan tetap mempertahankan dirinya daripada tuduhan tersebut.
“Saya tidak akan minta maaf. Diva AA tetap gah dan tidak berkudis walaupun sebesar hama,” tegasnya.
Terdahulu, penganjur Karnival Fiesta Raya Baling 2024 tampil memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak terutama rakyat Kedah atas kontroversi yang berlaku membabitkan Azwan Ali baru-baru ini.
Penganjurnya, Maju Kedah Resources dalam kenyataan berkata, persembahan tarian ala dangdut selebriti itu bersama beberapa orang lelaki di atas pentas berlaku di luar jangkaan dan perkara tersebut bukan salah satu daripada atur cara program.
Katanya, kehadiran Azwan adalah atas jemputan sahabat Tiktokers, Diva BB yang turut sama berniaga di Fiesta Raya Baling.
“Merujuk kepada video viral Diva AA menari di atas pentas Fiesta Raya Baling baru-baru ini, kami bagi pihak penganjur Fiesta Raya Baling 2024 memohon sejuta kemaafan atas isu berkenaan.
“Perkara itu berlaku diluar jangkaan kami yang mana pada asalnya kami menyangka ia hanyalah sekadar gurauan pentas kerana Diva AA, Azwan Ali tiada dalam senarai jemputan rasmi.
“Pihak Jawatankuasa Fiesta Raya Baling amat kesal di atas apa yang berlaku dan sekali lagi memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dengan isu tersebut,” katanya.
Susulan insiden berkenaan, pihaknya menerima teguran daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Mohd Taufik Yaacob dan mengarahkan Fiesta Raya Baling 2024 ditutup atas dasar tanggungjawab.
“Kami selaku penganjur dengan rasa tanggungjawab menerima teguran tersebut untuk menutup terus penganjuran acara Fiesta Raya Baling 2024.
“Hari Sabtu (kelmarin) adalah hari terakhir kami beroperasi,” katanya.
Dalam kejadian dipercayai Khamis lalu, tular video Azwan Ali bersama beberapa orang lelaki menari di atas pentas pada Fiesta Raya Baling 2024. Aksi menari mereka di atas pentas mendapat kecaman netizen kerana berlaku pada bulan Ramadan. – KOSMO! ONLINE