PUTRAJAYA- Kerajaan menambah peruntukan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 sebanyak 20 peratus kepada RM1.5 bilion berbanding RM1.26 bilion pada tahun sebelumnya bagi membantu golongan memerlukan menangani peningkatan kos sara hidup.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, susulan itu, mulai Rabu, seramai 8.4 juta rakyat bakal menerima bayaran STR Fasa 2 yang melibatkan bayaran antara RM100 hingga RM650.
“Reformasi ekonomi yang diterajui Kerajaan Madani bukan semata-mata untuk memperbetul struktur kewangan negara, tetapi ia berbekalkan niat ikhlas untuk memastikan kekayaan negara dikongsi dengan rakyat secara lebih saksama.
“Insya-Allah, kerajaan akan tingkatkan lagi bantuan tunai kepada rakyat sejajar dengan
penambahbaikan fiskal negara termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.
Jelas kenyataan itu, penerima sedia ada dan penerima baharu yang berdaftar di dalam pangkalan data STR akan menerima pembayaran STR Fasa 2 melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan
secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN).
Katanya, ia disalurkansecara berperingkat mengikut kategori kelayakan STR masing-masing.
“Mulai 2024, kerajaan telah mengambil pendekatan baharu untuk membuka pendaftaran STR 2024 sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan itu.
“Oleh itu, bilangan penerima yang layak dijangka terus meningkat pada tahun ini mengambil kira proses permohonan baharu dan kemas kini yang dijalankan sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini,” jelasnya.
Menurut Kementerian Kewangan, jika nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan.
Semakan status kelayakan STR dan soalan lazim (FAQ) boleh didapati di Portal Rasmi STR,
melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my. – KOSMO! ONLINE