KUALA NERUS – Jualan Ikan Segar Bersama Penduduk anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Terengganu di Kampung Banggol, Mengabang Telipot di sini hari ini mendapat sambutan luar biasa.
Sebanyak 800 kilogram (kg) hasil laut termasuk ikan pelbagai jenis yang dijual 15 hingga 20 peratus daripada pasaran habis dibeli dalam tempoh 50 minit sahaja.
Pengarah SKM Terengganu, Zainuddin Mohd. Ali berkata, pelanggan terlalu ramai sehingga pihaknya perlu meminta bantuan anggota Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Relawan Malaysia (Rela) untuk mengawal keadaan.
Beliau berkata, pelanggan sudah mula mengerumuni tapak jualan seawal pukul 8 pagi walaupun ia hanya mula beroperasi pukul 10 pagi.
“Walaupun pada awalnya agak kelam-kabut tetapi terkawal dengan campur tangan anggota polis dan Rela.
“Hari ini, 800 kg hasil laut termasuk sotong, lala, udang dan kerang disediakan tetapi masih belum mencukupi,” katanya pada program tersebut yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman
di sini hari ini.
Zainuddin berkata, program julung kali diadakan tersebut bertujuan untuk membantu masyarakat terkesan ekoran penularan Covid-19 bagi membeli barangan keperluan harian dengan harga berpatutan. – K! ONLINE