fbpx

Wanita warga emas buta, cucu maut kemalangan di LPT 2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kenderaa Naza Citra yang terlibat dalam kemalangan meragut dua nyawa di KM 362.3, LPT 2 berhampiran Bukit Besi, Dungun hari ini.

DUNGUN – Seorang wanita warga emas cacat penglihatan maut bersama seorang cucu perempuannya apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Citra yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di Kilometer 362.3, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran Bukit Besi, di sini hari ini.

Dalam kemalangan pukul 1.40 tengah hari, Kelsom Abdullah, 86, dan Fatin Zulailahuda Zulkifli, 20, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Ibu Fatin Zulailahuda, Hayati Muda, 51, pula cedera parah pada tangan kiri manakala pemandu, Zulkifli Ismail, 57, yang juga anak Kelsom serta cucu lelaki warga emas itu, Muhammad Zul Adli, 22, hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, sewaktu kejadian, kesemua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah Kelsom di Manir, Kuala Terengganu dari Chukai, Kemaman.

“Kenderaan Naza Citra dinaiki mereka dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terlanggar besi penghadang kiri lebuh raya  sebelum terbabas ke lorong kanan dan merempuh besi pembahagi lebuh raya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Maizura berkata, impak kemalangan itu menyebabkan Kelsom yang berada di tempat duduk penumpang belakang tercampak keluar dari kenderaan terbabit.

Tambah beliau, Fatin Zulailahuda pula disahkan meninggal dunia sewaktu pasukan perubatan memberikan rawatan kecemasan kepadanya di lokasi kejadian.

“Mayat dua mangsa yang meninggal dunia telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk dibedah siasat.

“Tiga ahli keluarga lain yang cedera pula menerima rawatan di unit kecemasan hospital sama,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI