KLUANG – Remaja perempuan yang menghilangkan diri dari kediamannya di Taman Desa sejak lima hari lalu selamat pulang ke rumah malam semalam.
Ibunya, Hanisah Khamis, 37, berkata, anaknya, Alia Suffiah Azeem, 19, pulang ke rumah dalam keadaan baik kira-kira pukul 11 malam namun masih menyembunyikan tempatnya tinggal sepanjang tempoh lima hari kehilangannya.
Katanya, buat masa ini, ahli keluarga tidak mahu mengeruhkan keadaan dengan tidak bertanya lebih dan membiarkan dia menceritakannya sendiri nanti.
“Terima kasih kepada akhbar ini yang membantu menyiarkan berita kehilangan anak saya sehingga menggerakkan hatinya untuk pulang ke pangkuan keluarga.
“Terima kasih juga kepada orang ramai yang telah sama-sama mendoakan serta membantu mengesan kedudukan anak saya sepanjang tempoh lima hari kehilangannya,”katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kelmarin, Kosmo! Online menyiarkan kehilangan penuntut Kolej Vokasional Kluang yang keluar dari rumahnya di Taman Desa kira-kira pukul 6.50 pagi ketika cuba dikejutkan untuk pergi ke Kolej itu.
Anak sulung dua beradik itu turut membawa semua pakaiannya ketika keluar dari rumah sehingga menimbulkan kebimbangan kepada keluarga. .-KOSMO! ONLINE