fbpx

COMB pastikan tiada pihak tercicir terima bantuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zaiton (dua dari kanan) menziarahi mangsa langgar lari, Muhammad Israf yang terlantar sakit sambil diperhatikan oleh bapanya Arbain Ramli (kanan) di rumahnya di Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang. - Foto RAJA JAAFAR ALI

PASIR GUDANG – Kerajaan negeri akan melancarkan program Cari Orang Memerlukan Bantuan (COMB) pada awal tahun depan bagi memastikan tidak ada pihak yang tercicir daripada menerima bantuan bagi menambah pendapatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Zaiton Ismail berkata, pencarian COMB akan dibuat menerusi jabatan-jabatan dan badan bukan kerajaan (NGO) di bawah portfolionya.

Katanya, buat masa ini, seramai 49,570 penerima bantuan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negeri Johor.

“Inisiatif COMB ini bukan sahaja tertumpu kepada bantuan bulanan tetapi untuk peningkatan ekonomi. Ini kerana mungkin ada ibu tunggal, golongan B40 dan warga tua di luar sana yang memerlukan kemahiran dan peralatan.

“Walaupun di bawah portfolio wanita, tidak ketinggalan menerima bantuan ialah golongan bapa tunggal. Bapa tunggal ini layak menerima manfaat di bawah Skim Bantuan Kanak-kanak bagi anak mereka yang masih bersekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat penuntut Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ), Muhammad Israf Izzuddin Arbain, 19 yang kini terlantar dan hilang ingatan selepas kemalangan di kediamannya di Taman Cahaya Masai, di sini, hari ini.

Zaiton berkata, setakat ini, seramai 570 bapa tunggal yang berdaftar dengan JKM negeri.

selain JKM, agensi lain di bawah portfolionya seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT) akan terlibat sama mengesan mereka yang layak mendapat manfaat COMB.

Katanya, selain memberi bantuan awal, pihaknya akan melihat kepada potensi dalam kalangan penerima yang berkemampuan untuk menambah ekonomi keluarga.

“Kita lihat keadaan orang yang hendak dibantu ini. Sekiranya memerlukan bantuan JKM kita akan ke arah itu dan jika kita lihat dia berpotensi untuk tambah ekonomi, kita akan bagi peralatan yang sesuai.

“Sekiranya bidang perniagaan mereka berpotensi untuk dikembangkan, kita akan membantu memanjangkan permohonan itu ke jabatan berkaitan seperti Jabatan Pertanian atau di bawah program usahawan.

“Jadi, ia bukan tertakluk di bawah portfolio saya sahaja. Kebanyakan bantuan yang kita berikan ini di peringkat awal yang beroperasi di rumah (home base),” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI