TAIPING – Dua spesis burung dan empat ekor nyala adalah antara spesis baru yang bakal menjadi tarikan pengunjung di Zoo Taiping & Night Safari.
Spesis baru burung yang bakal menjadi tarikan adalah sepasang burung Merak Hijau dan sepasang burung Angsa Mesir manakala spesis haiwan baru pula adalah empat ekor nyala termasuk seekor nyala jantan.
Selain itu, penambahan baka baru di Zoo Taiping adalah sepuluh ekor itik Belibis, burung Punai Tanah (10) dan burung Punai Gading (10) yang diterima dari Wildlife Fauna Breeding and Research Pahang pada awal Disember tahun ini.
Pengarah Zoo Taiping & Night Safari, Dr. Kevin Lazarus berkata, Zoo Taiping menggalas tanggungjawab dalam memastikan lima fungsi zoo termasuk pendidikan, konservasi, latihan serta kajian dan pendidikan diberi perhatian dan dilaksanakan mengikut peraturan semasa bagi membawanya ke tahap dunia.
“Zoo Taiping & Night Safari kini dalam usaha menjayakan program pembiakan dan konservasi bagi spesies yang kian pupus seperti burung Merak Hijau.
“Berdasarkan International Union for Conservation of Nature (IUCN), burung Merak Hijau dikategorikan sebagai diancam kepupusan manakala di Malaysia pula ia telah pupus di habitat alam semulajadi dan ia merupakan haiwan yang dilindungi sepenuhnya di dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716),” katanya di sini tadi. -K! ONLINE