SEBERANG PERAI – Mayat seorang wanita warga emas ditemui terapung di dalam sebatang sungai di Taman Kimsar, Perai di sini hari ini.
Difahamkan, mayat dikenal pasti sebagai M. Ambiga, 70, itu ditemui berdekatan tebing sungai oleh orang awam sebelum menghubungi pihak berkuasa.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya yang menerima panggilan pukul 2.25 petang itu bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu pihak polis membawa naik mayat.
“Dengan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap, bomba berjaya membawa naik mayat itu pukul 3.05 petang sebelum diserahkan kepada polis,” katanya.
Operasi itu digerakkan oleh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai. – K! ONLINE