fbpx

Paras air Sungai Kelar susut, penduduk Pasir Mas, Tumpat terjejas bekalan air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Sebanyak 48,635 akaun pengguna di jajahan Pasir Mas dan Tumpat berdepan masalah bekalan air bersih apabila berlaku penurunan paras air kritikal di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Kelar di Pasir Mas, dekat sini.

Jabatan Korporat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) berkata, situasi berkenaan disebabkan oleh cuaca kemarau atau El Nino yang berlaku pada ketika ini.

Menurutnya, paras air sungai ketika ini berada pada paras 0 meter di bawah muka sauk LRA Kelar dan keadaan itu memberi kesan terhadap dua jajahan terbabit yang menerima bekalan air dari loji berkenaan.

“Sebanyak 13,831 akaun pengguna di Tumpat terlibat dalam masalah bekalan air akibat situasi tersebut, manakala sebanyak 35,254 akaun di Pasir Mas.

“Jumlah keseluruhan akaun yang mendapat bekalan air dari LRA Kelar dianggarkan kira-kira 52,000 akaun,” katanya.

Pihak AKSB menjelaskan, selain faktor paras air sungai menurun, situasi tersebut turut dipengaruhi oleh kerosakan pam No. 2 (P2) dan pam No. 4 (P4) disebabkan oleh mendapan pasir dan sampah.

Menurutnya, AKSB melaksanakan tindakan mitigasi segera membabitkan pemasangan pam tambahan, iaitu Pam No. 5 (P5) di luar muka sauk melibatkan pemasangan pam, sambungan bekalan elektrik dan pemasangan paip.

“Tindakan mitigasi segera turut membabitkan kerja pembersihan muka sauk LRA Kelar yang kali terakhir dilaksanakan pada 14 Februari lalu. Kita juga melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan telaga pengumpul menegak (HWC)(Telaga Jejari) Semuba 1.

“Ia melibatkan kerja-kerja ‘screen blowing’ pada jejari HWC yang telah bermula semalam dan dijangka siap esok. Kerja-kerja mengambil masa lama kerana faktor jenis tanah, iaitu tanah liat,” ujarnya.

Menurutnya, AKSB turut mendapatkan bantuan khidmat lori tangki daripada rakan operator jika situasi penurunan paras air sungai kritikal berterusan.

Katanya, sebanyak lima lori tangki AKSB dan lima lori air kontrak (LAK) sedang diatur gerak serta sebanyak 33 tangki statik 1,800 dan 500 gelen ditempatkan di 23 kawasan sekitar jajahan Pasir Mas.

“Sebuah lori tangki AKSB, dua LAK sedang diatur gerak dan sebanyak 75 tangki statik ditempatkan di jajahan Tumpat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI