fbpx

Bekas penolong pengarah MPKB-BRI didakwa cabul pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis mengiringi Syahrul Nizam (kiri) untuk didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini. - Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!

KOTA BHARU – Bekas penolong pengarah bahagian di Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mencabul seorang pekerja wanita di pejabatnya, lima bulan lalu.

Tertuduh, Syahrul Nizam Shuib, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah kepada seorang wanita berusia 23 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatannya.

Perbuatan itu dilakukan di Bahagian Perkhidmatan MPKB-BRI di sini kira-kira pukul 9.30 pagi pada 24 Oktober 2023.

Bagi pertuduhan kedua, Syahrul Nizam didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa dan di lokasi sama kira-kira pukul 9.30 pagi pada 26 Oktober 2023.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Fariduddin Mat Noor.

Terdahulu, Syazalia mencadangkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin atas kedua-dua pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Muhammad Fariduddin dalam rayuannya memohon jaminan tersebut dikurangkan dengan alasan tertuduh menanggung isteri dan dua anak masih bersekolah selain menjaga ibu bapanya yang sudah uzur.

“Tertuduh tidak pernah mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan merupakan pekerja cemerlang selama 23 tahun berkhidmat di dalam jabatan. Anak guam saya juga akan memberi kerjasama penuh dan hadir ke mahkamah sepanjang prosiding perbicaraan,” ujarnya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh tidak menggangu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 28 Mei depan untuk sebutan semula kes. Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan oleh mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI