ALOR SETAR – Bumbung bangunan Kolej Matrikulasi Kedah di Changlun, dekat sini terbakar dipercayai akibat disambar petir, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam, Penolong Penguasa Bomba Zulkifli Manaf memberitahu, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 5.41 petang.
Katanya, Pusat Gerakan Operasi (PGO mengarahkan sebuah jentera, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan Pajero Bukit Kayu Hitam ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi didapati berlaku kebakaran di bahagian bumbung bangunan Blok C2 dipercayai akibat disambar petir.
“Tindakan memadam kebakaran terus dilakukan dengan satu aliran dua pancutan serta membuat pemerhatian secara menyeluruh,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu. – KOSMO! ONLINE