PARIS – Penunggang veteran Afrika Selatan, Ashleigh Moolman muncul johan lumba basikal maya pertama dunia semalam selepas memenangi perlumbaan sejauh 50 kilometer di atas jalan digital dikenali sebagai Watopia.
Dianjurkan oleh UCI dan menggunakan platform Zwift, Moolman menjadi johan semasa sambutan hari jadinya yang ke-35 tanpa perlu meninggalkan apartmennya.
Juara kebangsaan Afrika Selatan 2020 itu menewaskan pelumba Australia, Sarah Gigante dan Cecilia Hansen dari Sweden dengan catatan masa 73 minit.
Pelumba Jerman, Jason Osborne pula menjuarai kategori lelaki. Osborne akan menyertai Sukan Olimpik Tokyo pada musim panas tahun depan tetapi dalam disiplin mendayung dan bukan berbasikal.
Osborne memenangi perlumbaan semalam dengan catatan masa 65 minit sekali gus mengetepikan pasangan Denmark, Anders Foldager dan Nicklas Pedersen. – AFP