PUTRAJAYA – Industri jualan langsung di Malaysia mencatatkan nilai jualan RM17.8 bilion sehingga September lalu dan diyakini mampu mencecah RM20 bilion menjelang akhir tahun ini walaupun berdepan cabaran ekonomi semasa.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia sekali gus meletakkan Malaysia di kedudukan ketujuh peringkat global dan keempat di Asia Pasifik dari segi rekod nilai jualan dalam Laporan Jualan Peruncitan Jualan Langsung Global 2019 – Persekutuan Persatuan Jualan Langsung Dunia (WFDSA).
Katanya, sektor jualan langsung mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan di Malaysia hingga berkembang menjadi satu industri besar yang menyumbang kepada ekonomi domestik negara.
“Ini diyakini berupaya membantu usaha kerajaan, khususnya KPDNHEP merancakkan semula pertumbuhan ekonomi domestik negara susulan penularan pandemik Covid-19.
“Keyakinan itu bersandarkan prestasi positif, terutama nilai jualan dicatatkan sektor berkenaan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini bermula pada 2018 (RM15.9 bilion) dan 2019 (RM17 bilion),” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini. -K! ONLINE