fbpx

Arsenal elak trauma lampau lawan City

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain Arsenal menjalani sesi latihan menjelang pertemuan getir menentang City di Etihad malam ini. – ARSENAL

LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menggesa anak-anak buahnya agar menikmati aksi menentang Manchester City di Stadium Etihad malam ini yang akan menentukan peluang mereka menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Arteta, 42, percaya barisan pemainnya sudah mempelajari kesilapan musim lalu apabila di­belasah City 1-4 ketika bertandang ke Etihad 11 bulan lalu, sekali gus menyingkirkan mereka daripada perebutan kejuaraan EPL ketika itu.

Pertembungan kali ini lebih mendebarkan kerana The Gunners yang kini berada di puncak liga, hanya satu mata mengatasi The Citizens di tempat ketiga selain memiliki kelebihan dari segi jumlah jaringan selepas mengumpul 42 mata sama dengan pasukan tangga kedua, Liverpool.

Justeru, Arteta berharap mereka memanfaatkan peluang kali ini meskipun sedar bukan mudah kerana Arsenal tewas lapan kali berturut-turut di Etihad dengan kali terakhir menca­tat menang 2-0 pada Januari 2015.

“Kami telah melakukan ba­nyak perkara untuk berada di kedudukan ini, jadi sekarang saya mahu kami menikmati saat-saat ini. Saya gembira dengan tenaga dan mood ditunjukkan pemain dalam kem latihan sekarang.

“City telah meningkatkan standard yang tidak pernah dilihat dalam bola sepak. Namun, kami perlu terus bersaing dan mengejar apa yang sedang mereka lakukan supaya kami tidak ketinggalan jauh.

“Anda boleh lihat kami semakin merapatkan jurang dalam tempoh dua tiga tahun kebelaka­ngan ini. Kami perlu lebih bagus daripada mereka yang selama ini menjadi contoh kepada semua pa­sukan,” kata Arteta.

Dalam masa sama, Arteta yang pernah menjadi pembantu kepada pengurus City, Pep Guardiola, tetap berkeyakinan tinggi tiga tonggaknya iaitu Bukayo Saka, Gabriel Martinelli dan Gabriel Magalhaes boleh diturunkan menentang City malam ini.

Ketiga-tiga pemain berkenaan masih tidak menjalani latihan bersama skuad utama disebabkan kecederaan yang dialami sebelum saingan berehat memberi laluan kepada aksi antarabangsa dua minggu lalu.

Bagaimanapun, Arteta mempunyai ‘pelan B’ jika tidak dapat menggunakan khidmat tiga bintang itu kerana percaya dengan kemampuan pemain yang lain.
– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI