fbpx

Tze Yong kempunan ke Olimpik Paris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TZE YONG kecewa tidak dapat mengambil bahagian BAC kerana belum pulih daripada masalah kecederaan sekali gus terlepas peluang untuk beraksi pada Olimpik Paris.

PELUANG perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 boleh dianggap sudah tertutup apabila dia tidak akan beraksi pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China bermula 9 hingga 14 April ini.

Ia gara-gara pemenang pi­ngat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu belum cergas sepenuhnya selepas menjalani pembedahan pada Februari lalu akibat kecederaan belakang yang dialaminya sebelum ini.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, pihaknya terpaksa membuat keputusan menggugurkan nama Tze Yong daripada kejohanan itu kerana enggan mengambil risiko terhadap kecederaannya.

“Keutamaan kami yang paling tinggi adalah menjaga kebajikan serta tahap kesihatan pemain. Kondisi dan proses pemulihan Tze Yong adalah fokus utama kami ketika ini, jadi dengan berat hati kami terpaksa menggugurkan namanya daripada BAC.

“Kami akan memantau progres dan kondisinya dalam tempoh beberapa minggu akan datang. Walaupun ketiadaannya di BAC akan menutup peluang ke Paris, namun dia masih muda dan masih berpeluang beraksi di edisi lain,” katanya.

BAC merupakan satu-satunya peluang untuk Tze Yong me­layakkan diri ke Olimpik Paris memandangkan ia adalah kejohanan terakhir yang menjadi aksi kelayakan ke temasya sukan terbesar dunia itu.

Justeru, pemain kelahiran Johor itu perlu melupakan hasrat beraksi di Olimpik Paris dan perlu bersiap sedia sekiranya di­senaraikan ke saingan Piala Thomas di Chengdu, China bermula 27 April hingga 5 Mei nanti.

Sementara itu, Tze Yong me­ngakui kecewa dengan ­situasi tersebut, namun terpaksa menerima keputusan dengan hati terbuka dan sedia memberikan fokus sepenuhnya terhadap proses pemulihan agar kembali cergas secepat mungkin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI