PETALING JAYA – Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah mengarahkan siasatan segera keatas seorang guru yang didakwa melakukan pedofilia di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat, Kelantan.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pasukannya bakal melawat MRSM tumpat dalam masa terdekat untuk melakukan siasatan.
“Saya sudah mengarahkan satu siasatan menyeluruh dijalankan secepat mungkin.
“Dalam pada itu, guru tersebut telah digantung tugas sehingga siasatan selesai,” katanya dalam hantaran di laman X.
Terdahulu, media melaporkan, seorang guru tular di aplikasi X setelah didakwa mengganggu pelajar-pelajar di MRSM Tumpat, Kelantan sehingga trauma.
Menurut wanita tersebut, guru terlibat masih dibenar mengajar walaupun perbuatan terkutuknya itu diketahui oleh guru dan pelajar lain. – KOSMO! ONLINE