fbpx

Pegawai bank jadi tali barut sindiket scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussein menunjukkan barangan yang dirampas daripada sindiket tersebut.

SHAH ALAM – Kejahatan dua pegawai bank bersekongkol dalam sindiket pembelian dan penjualan akaun bank bagi tujuan aktiviti ‘scam’ sejak enam bulan lalu terbongkar selepas ditahan polis, baru-baru ini.

Mereka adalah antara 16 individu termasuk wanita warga Nigeria berusia 20 hingga 30-an yang ditahan sekitar Lembah Klang dan Gombak antara 20 hingga 22 Mac lalu.

Turut ditangkap adalah seorang suspek dipercayai dalang sindiket dengan semakan mendapati pernah ditahan pada tahun 2021 atas kesalahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati sindiket itu aktif sejak enam bulan lalu dan terlibat dalam jenayah seperti ‘love scam’ dan penipuan panggilan.

Tegasnya, modus operandi sindiket adalah membeli akaun bank dan kad mesin pengeluaran automatik (ATM) daripada mana-mana individu pada harga antara RM500 hingga RM1,500.

“Hasil siasatan awal terhadap dua pegawai bank bekerja sebagai Mobile Deposit Specialist (MDS) mendapati mereka berbuat sedemikian bagi mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.

“Malah, mereka menerima pendaftaran akaun bank daripada individu tanpa membuat semakan menyeluruh dengan 40 akaun dibuka oleh dua pegawai bank itu,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Menurut beliau, siasatan turut mendapati ada dalam kalangan suspek berperanan sebagai ‘collector’ kad bank, ‘runner’ yang mencari individu yang mahu membuka akaun serta orang tengah antara sindiket dengan pegawai bank tersebut.

Tambah Hussein, terdapat juga beberapa kes suspek membawa pemilik akaun ke mana-mana pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi mendaftar syarikat.

Ini bagi membolehkan pemilik akaun berkenaan membuka akaun bank syarikat dengan pihak bank bagi tujuan aktiviti penipuan pihak sindiket.

“Siasatan juga mengenal pasti lima akaun telah terlibat dalam 15 kes penipuan atas talian dengan melibatkan kerugian RM2.3 juta di seluruh negara.

“Kesemua transaksi ini telah berlaku di antara Februari hingga bulan ini. Selain itu, polis turut merampas 31 unit telefon bimbit, 30 keping kad ATM pelbagai bank, sebuah mesin pencetak, sebuah komputer riba dan sebuah fail yang mengandungi pelbagai dokumen,” ujarnya.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada pegawai bank lain yang bersubahat dengan sindiket tersebut dan usaha memburu suspek lain sedang giat dilakukan polis.

“Kesemua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KPJ) dengan kes disiasat di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI