PUTRAJAYA – Siapa sangka sata ikan yang merupakan makanan ringan tradisional asal Terengganu mendapat permintaan tinggi di Bazar Ramadan Precint 3 di sini.
Berikutan tidak ramai yang menjual makanan ringan tradisional itu di bazar Ramadan tersebut menyebabkan perniagaan yang diusahakan Muhammad Nazry Zainal Abidin, 30, menjadi sasaran pengunjung.
Muhammad Nazry berkata, sata ikan yang dijualnya itu istimewa kerana mempunyai inti ikan yang banyak.
Katanya, berikutan itu, jualan sata ikan yang diusahakannya mampu terjual sebanyak 1,000 cucuk hanya dalam tempoh empat jam.
“Apa yang penting dalam pembuatan sata ikan adalah inti ikan yang banyak selain ramuan kelapa dan cili serta cara membakar untuk membuatkannya lebih sedap,” katanya ketika ditemui di sini.
Dia yang telah menjalankan perniagaan di bazar Ramadan berkenaan sejak lapan tahun lalu memaklumkan, sata ikan itu dijual pada harga berpatutan iaitu RM3.50 bagi setiap cucuk.
“Kalau ikutkan dengan keadaan ekonomi sekarang ia agak berpatutan.
“Apa yang saya jual adalah untuk bagi kepuasan kepada pelanggan, biar untung tidak banyak tetapi ramai yang membeli,” ujarnya.