PETALING JAYA – Pusat beli-belah terkenal di Putrajaya, IOI City Mall menutup operasinya hari ini berikutan masalah gangguan bekalan elektrik.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook, pihak pengurusan memaklumkan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah mengenal pasti kerosakan dan sedang berusaha untuk membaikinya.
Bagaimanapun, TNB tidak dapat memberi jaminan tempoh masa yang diperlukan untuk memulihkan bekalan kuasa di pusat beli-belah itu kerana mengalami beberapa kerumitan isu.
“Demi kepentingan semua penyewa dan pelanggan yang kami hargai, pusat beli-belah kami tidak akan beroperasi hari ini.
“Ini bagi membolehkan TNB mempunyai lebih banyak masa untuk kerja-kerja pembaikan. Kami ingin mengucapkan terima kasih kerana memahami dan sabar dengan situasi yang berlaku.
“Kami mengalu-alukan anda untuk mengunjungi semula. Perkembangan lanjut akan dikemas kini dari masa ke masa,” kata kenyataan itu.
Terdahulu Kosmo! melaporkan pengunjung dan pekerja IOI City Mall terpaksa ‘bergelap’ selepas pusat beli-belah itu mengalami masalah bekalan kuasa elektrik.
Ada antara pekerja terpaksa keluar dari pusat beli-belah berkenaan kerana tidak tahan kepanasan melampau.
Difahamkan, beberapa pengguna media sosial mendakwa gangguan elektrik itu berlaku sejak malam semalam. – KOSMO! ONLINE