fbpx

Anak Beruas lega dapat bantu keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Para peserta tekun mengikuti program OSC sebagai peluang untuk menambah pendapatan anak jati Beruas dekat Manjung baru-baru ini.

MANJUNG – Peluang mengikuti Kursus Mesin Rumput ketika Program One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial Negeri Perak ketika ia dilancarkan tahun lalu membuka peluang pendapatan tambahan bagi seorang anak jati Beruas dekat sini.

Menurut Mohd. Zaki Hashim, 51, dia yang merupakan bapa kepada tiga orang anak berusia antara 19 hingga 15 tahun dan seorang isteri hanya melakukan kerja-kerja kampung bagi menyara keluarganya.

Katanya yang berasal dari Kampung Kota di Beruas, antara kerja yang dilakukannya sejak sekian lama termasuklah meracun dan memesin rumput di kawasan tempat tinggalnya selain lain-lain lokasi di sekitarnya.

“Ketika dipanggil sebagai salah seorang penerima mesin rumput ketika pelaksanaan program OSC buat julung kalinya di Dewan Merdeka, Seri Manjung, saya ditawarkan untuk mengikuti kursus jangka pendek pada hari berkenaan.

“Kursus ditawarkan pula ada kaitan dengan salah satu kerja yang saya lakukan iaitu memesin rumput, jadi saya tidak fikir banyak dan bersetuju menerima tawaran berkenaan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohd. Zaki berkata, menerusi kursus yang dilaksanakan selama beberapa jam tersebut, dia mempelajari pelbagai ilmu bermanfaat dan baharu biarpun dia telah berpengalaman menggunakan mesin rumput.

Katanya, antara yang dipelajarinya ketika kursus tersebut termasuklah cara-cara untuk mengendalikan mesin rumput serta aspek keselamatan membabitkannya.

“Alhamdulillah, menerusi ilmu tersebut, kualiti kerja saya kini meningkat berbanding sebelum ini, bahkan terdapat peningkatan daripada segi tawaran kerja memotong rumput.

“Dengan beberapa tawaran pekerjaan tersebut, saya kini memperoleh sehingga RM300 tambahan pendapatan dan ia digunakan untuk membantu keluarga terutamanya membabitkan hal pendidikan anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Negeri Perak, Datuk Shamshuzaman Sulaiman berkata, peserta-peserta kursus itu dipantau pihaknya bahkan mereka akan melaksanakan pemadanan bantuan dengan agensi pemberi bantuan untuk mereka yang dilihat berpotensi dan boleh mengembangkan lagi perniagaan masing-masing.

“Apa yang kita harapkan adalah, para peserta ini memperoleh pengalaman dan kemahiran untuk mengubah diri dan keluarga selain membina keyakinan dalam diri mereka.

“Kita percaya bahawa ilmu yang diperolehi semasa kursus dimanfaatkan sebaiknya oleh para peserta untuk mengembangkan lagi potensi diri mereka,” katanya yang turut memberitahu, program OSC berkenaan adalah selaras dengan Flagship 6: Membasmi Miskin Tegar 2025 di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI