PETALING JAYA – MMAG Holdings Berhad (MMAG) telah melabur lebih daripada RM150 juta untuk membangunkan fasiliti logistik baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memacu pertumbuhan perniagaan penerbangannya, sekali gus memainkan peranan penting dalam merealisasikan potensi Malaysia sebagai hab kargo udara serantau.
Pelaburan melibatkan segmen penerbangan MMAG, MMAG Aviation Consortium Sdn. Bhd. (MAC) itu dilihat bakal meningkatkan kelebihan daya saing Kumpulan dalam industri logistik dan memacu pertumbuhan pendapatan.
Kemudahan itu menampilkan terminal kargo automatik seluas 302,400 kaki persegi (28,000 meter persegi), yang pertama dalam jenisnya di KLIA dengan kapasiti memproses kargo sehingga 72 pesawat penumpang manakala operasi penuh dijangka dicapai dalam tiga fasa.
MMAG turut mengumumkan pemeteraian memorandum persefahaman dengan Menzies Aviation (SG) Pte Ltd (Menzies), sebahagian daripada Menzies Aviation Limited, yang merupakan kumpulan perkhidmatan penerbangan terbesar di dunia dari segi liputan geografi.
Pengerusi MMAG Holdings Berhad, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman berkata, pihaknya percaya KLIA mempunyai potensi untuk menjadi nod penting dalam rangkaian kargo udara global.
“Walaupun permintaan e-dagang adalah pendorong pertumbuhan utama bagi kargo udara, proses pengendalian kargo udara konvensional adalah kompleks dan memakan masa yang panjang, melibatkan terlalu banyak langkah.
“Dengan fasiliti baharu, kami melihat peluang untuk menyederhanakan dan menyelaraskan proses ini. Kami merancang untuk memperkenalkan penyelesaian inovatif yang akan menjadikan Malaysia sebagai pemimpin dalam pengendalian kargo udara yang cekap.
“Kami mengharapkan untuk mendapat manfaat daripada beberapa faktor pendorong pasaran di sini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.