PUTRAJAYA – Sebanyak 10 kementerian memperoleh status pencapaian tahap tertinggi iaitu Cemerlang (Lima Bintang) pada Anugerah Khas Keselamatan Pelindungan (AKKP) Peringkat Kebangsaan Tahun 2019.
Kementerian tersebut adalah Jabatan Perdana Menteri (JPM); Kementerian Kewangan; Kementerian Kesihatan; Kementerian Wilayah Persekutuan; Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Pendidikan; Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Kementerian Kerja Raya serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan berkata, pencapaian itu mencerminkan kementerian terbabit telah melaksanakan keberkesanan tadbir urus dan akauntabiliti Ketua Jabatan dan Pegawai Keselamatan Jabatan serta keterangkuman pembudayaan keselamatan pelindungan di segenap lapisan pegawai dan kakitangan awam.
“AKKP Tahun 2019 menyaksikan 10 kementerian telah mempamerkan tadbir urus keselamatan pelindungan terbaik dengan memperolehi status pencapaian Cemerlang (Lima Bintang) iaitu tahap tertinggi,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, JPM memaklumkan sebanyak 63 jabatan dan agensi kerajaan peringkat persekutuan dan negeri tersenarai sebagai penerima anugerah Cemerlang (Lima Bintang) dalam anugerah tersebut.
“Usaha pemerkasaan tadbir urus keselamatan pelindungan hendaklah diteruskan dan dijadikan agenda utama setiap jabatan kerajaan ke arah memastikan kerahsiaan maklumat dan aset kerajaan dilindungi setiap masa,” katanya. -K! ONLINE