PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima satu laporan berhubung penemuan sebuah bagasi berisi wang lebih RM500,000 yang ditemukan di tempat parkir kereta pusat beli-belah di Damansara, di sini, 20 Mac lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima satu laporan dibuat seorang individu, namun setakat ini, individu terbabit masih belum muncul untuk memberi keterangan.
“Ada satu laporan diterima, tetapi individu berkenaan belum lagi tampil beri keterangan.
“Laporan itu dibuat oleh seorang lelaki di Shah Alam,” ujarnya ringkas ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan bagasi berwana merah jambu dan putih itu ditemukan seorang pengawal keselamatan kira-kira pukul 8 pagi, 20 Mac lalu.
Susulan penemuan beg itu, polis meminta pemilik beg berkenaan supaya tampil ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya bersama bukti berkaitan bagi mengesahkan wang tersebut.
Hussein memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di lokasi tersebut tidak dapat memberikan bukti yang mencukupi berkenaan pemilik wang tunai tersebut.
“Di tempat parkir itu terdapat CCTV, namun bukan di kawasan beg itu dijumpai. CCTV tersebut dipasang di kawasan keluar masuk kenderaan,” ujarnya.
Menurut Hussein, pihaknya percaya wang tunai yang dijumpai itu adalah tulen dan akan mendapatkan pengesahan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE